"Kenangan Mengusik Jiwa" ialah episod ke-34, ke-35 dan ke-36 (episod ke-12 mengikut kiraan episod 30 minit) dalam Upin & Ipin musim keenam. Episod ini diterbitkan khas untuk memperingati Seniman Agung P. Ramlee.
PlotSunting
Bahagian 1Sunting
Upin dan Ipin membawa bekalan makanan ke rumah Tok Dalang. Pada masa yang sama, Tok Dalang sedang menikmati filem Pendekar Bujang Lapok yang ditayangkan dalam peti televisyen melalui pemain VHS. Setelah menyedari ketibaan mereka, dia mengajak mereka menonton dan bergelak tawa sekali. Setelah filem tamat, Upin bertanya sama ada Tok Dalang menyimpan banyak lagi filem lama, maka Tok Dalang membuka kabinet TV-nya untuk menunjukkan koleksi kaset video filem P. Ramlee yang sekian lama disimpannya. Upin meminta Tok Dalang memutarkan satu lagi video, maka Tok Dalang dengan senang hatinya menunaikan permintaan itu.
Tok Dalang, Upin dan Ipin menikmati satu maraton aneka filem P. Ramlee hingga hampir waktu maghrib. Ketika mereka bergegas pulang kerana penat, Tok Dalang meminta Upin dan Ipin untuk datang semula esok dan mengajak kawan-kawan sekali untuk menonton banyak lagi filem P. Ramlee. Akhir sekali sebelum kembar itu beredar, mereka bertiga tiba-tiba mengajuk satu babak ujibakat dalam filem Seniman Bujang Lapok.
Upin dan Ipin kembali ke rumah sambil ketawa terbahak-bahak, lalu menceritakan pengalaman mereka menonton filem-filem P. Ramlee bersama Tok Dalang tadi. Opah yang sedang menjahit ketayap menanya mereka mengapa mereka tidak mengajaknya sekali, kerana sesungguhnya dia juga peminat setia P. Ramlee. Sebagai pampasan, Ipin meminjam ketayap itu melakonkan semula babak pembukaan Sarjan Hassan yang mana watak utama memperkenalkan dirinya kepada penonton. Ros tertarik dengan gelagat adik-adiknya mengajuk filem P. Ramlee dan menegur mereka supaya mandi dengan mengajuk babak zaman kanak-kanak Hassan dalam filem Sarjan Hassan. Tiba-tiba sahaja, hujan mula turun, maka Opah menyuruh Ros mengangkat kain jemuran ala babak Pendekar Bujang Lapok. Ros menyuruh Upin dan Ipin pula, tetapi diminta upah 20 sen ala filem Bujang Lapok yang pertama.
Keesokan hari. Setelah Upin, Ipin, Ehsan, Fizi, Mail dan Jarjit puas menonton filem demi filem P. Ramlee di rumah Tok Dalang, tiba-tiba Ehsan mula melakonkan watak Sazali dalam Anakku Sazali. Tok Dalang turut serta dalam ajukan itu dengan berlakon sebagai bapa Sazali. Kehebohan di anjung Tok Dalang menarik perhatian Salleh yang menyalah sangka bahawa Ehsan berkasar dengan orang tua. Setelah mendengar penjelasan Tok Dalang, Salleh turut mengaku dirinya sebagai peminat filem P Ramlee dan melakonkan babak Raja Kapur dalam filem Seniman Bujang Lapokbersama Upin.
Bahagian 2Sunting
Sekembali mereka di rumah, Upin dan Ipin hendak menceritakan apa yang telah mereka tonton kepada Ros, tetapi kurang ingat. Sebagai ganti, mereka berdua mengajuk watak Sazali dalam Anakku Sazali, membuat Ros dan Opah terhibur dan memuji lakonan mereka. Upin dan Ipin mengulas tentang betapa sedihnya kisah anak yang menderhakai bapanya itu, hingga mereka terlanjur kata "Nasib baik kita tak ada bapa." Kata-kata mereka ditegur oleh Opah yang mengajar mereka supaya hormat kepada ibu bapa (walaupun mereka sudah tiada) dan jangan mencontohi Sazali. Upin dan Ipin berikrar supaya tidak mencontohi Sazali seandainya mereka ada bapa.
Seterusnya, Opah memuji P. Ramlee sebagai pelakon yang "hebat orangnya", apatah lagi dia menyukai semua filemnya. Ipin menanya Opah filem mana yang paling disukainya. Teka Kak Ros, filem yang ada babak yang berlagu "Botol dah bunyi" (Bujang Lapok). Jelas Opah, itu filem kegemaran ibu bapa cucu-cucunya (anak dan menantunya), lalu dia mengajuk babak emak Zaiton beradu harta benda dengan emak Sudin (dalam filem yang sama!)
Keesokan hari, Upin, Ipin, Mail dan Fizi melakonkan babak bujang-bujang lapok berjumpa dengan dukun di dalam pondok, seperti dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Selepas habis mengajuk babak itu, mereka dilawati oleh Mei Mei dan Susanti. Setelah diberitahu apa yang lelaki berempat itu lakukan, gadis berdua yang kebetulan juga meminati P. Ramlee turut beraksi dengan mempersembahkan babak lagu "Apek dan Marjinah (Aiya Cik Siti)" dari filem Ali Baba Bujang Lapok, dan berjaya mencuit hati lelaki berempat.
Petang nanti, Tok Dalang mengunjungi gerai Muthu. Ketika itu, Muthu sedang menyanyi lagu tema Madu Tiga. Pada masa yang sama, Ah Tong ada di situ dengan sebuah peti lama. Apabila ditanya oleh Tok Dalang tentang peti itu, jelas Ah Tong, peti itu peti antik yang mungkin menyimpan wang, tetapi kehilangan kuncinya. Setelah memerah otak sejenak, Ah Tong cuba membuka peti itu dengan jampi yang cuba ditirunya dari filem Ali Baba Bujang Lapok. Setelah selesai membacakan jampi "Niyat ingsun matak aji Semar ngising", tiba-tiba terdengar bunyi kuat bagaikan letupan, membuat Tok Dalang dan Ah Tong cepat menyorok di bawah meja dalam ketakutan. Rupa-rupanya tayar sebuah kereta pancit, dan kebetulan pula, kereta itu sedang menumpangkan seorang wajah yang terkemuka!
Bahagian 3Sunting
Ros meminta Upin dan Ipin membawa bekalan makanan ke gerai Muthu. Sebelum pergi, mereka mengusik kakak mereka dengan ajukan "20 sen". Sementara itu, gerai Muthu dengan penuh terujanya menyambut ketibaan Datuk Azis Sattar, pelakon terkenal yang pernah berlakon di samping arwah P. Ramlee dalam keempat-empat filem Bujang Lapok. Muthu terburu-buru menghulurkan apronnya sambil meminta autograf daripada beliau, tetapi sempat ditegur oleh Tok Dalang atas kekotoran penampilannya, jadi Muthu bergegas pulang ke rumah untuk membersihkan diri.
Setelah Muthu beredar, Ah Tong mengulas bahawa dirinya menggemari filem yang ada dialog "Hidup susah, mati pun susah" (Madu Tiga). Jelas Aziz dengan penuh lawaknya, beliau tidak pernah berlakon dalam filem itu. Apapun, Aziz cuba melakonkan semula babak surat khabar lama dalam Seniman Bujang Lapok bersama Ah Tong. Selepas habis berlakon babak itu, Ah Tong dengan bangganya mengaku dirinya ingat semua filem P. Ramlee. Tok Dalang membalas cakap besarnya dengan mengatakan yang sama baginya, lalu mengajuk babak "silat lempar batu" (Pendekar Bujang Lapok) dengan Aziz.
Kemudian, datangnya Salleh yang berpakaian kemas berjalan melewati gerai Muthu. Ah Tong menanya Salleh ke mana dia hendak pergi; jawabnya, dia hendak pergi berjumpa dengan Mat Tahir. Balas Aziz, "Mat Tahir ke mata air?" Barulah Salleh sedar akan kehadiran Aziz Sattar lalu pengsan. Kebetulan pula Upin dan Ipin sampai di gerai, terlihat Salleh terbujur di atas tanah gerai. Aziz Sattar cuba membangunkan semula Salleh dengan jampi "Niyat ingsun matak aji Semar ngising!" (yang diucapkan oleh Ah Tong untuk membuka petinya tadi), tetapi berhasil buat sementara sahaja; sekali pandang sahaja, pemuda itu pengsan semula. Aziz Sattar membuat reaksi dengan mengucapkan sepatah lagi jampi serapah, "rampung ngising, Semar tilem."
Tok Dalang pun menyambut kedatangan Upin dan Ipin, lantas memperkenalkan mereka kepada Aziz Sattar yang memainkan watak Ajis dalam filem-filem Bujang Lapok yang pernah mereka tonton kelmarin dan semalam, tetapi kembar dua itu menyanggah kerana rupanya yang berusia tidak sama dengan wajahnya yang muda dalam filem. Jelas Ah Tong, filem-filem P. Ramlee itu lama, jadi sudah tentulah beliau tua. Untuk membuktikan dirinya, Aziz melakonkan semula dialog yang pernah diucapkannya dalam Seniman Bujang Lapok: "Walaupun rupamu tidak kukenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hati ku", dan juga persembahannya selaku pengacara pertunjukan peragawati dalam filem Labu dan Labi; ajukan itu berjaya meyakinkan kembar berdua itu.
Upin dan Ipin menanya Datuk Aziz di mana P. Ramlee. Jelasnya dengan nada yang sayu, P. Ramlee sudah meninggal dunia "39 tahun lalu", diikuti dengan pujian-pujian kepada arwah selaku "seniman legenda". Pendek kata Tok Dalang, sebab itulah P. Ramlee tidak dilupai orang sampai bila-bila. Ujar Ah Tong, "Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan". Balas Aziz, "betul, betul, betul". Ipin memuji Datuk Aziz kerana comel, tetapi beliau mengaku dirinya "kelabu asap".
Tayar kereta sudah diganti, maka tiba masa untuk Datuk Aziz Sattar meneruskan perjalanan. Sebelum beliau bertolak, Muthu sempat kembali ke kawasan gerainya untuk mendapatkan autograf daripada beliau. Saat kereta beliau baru beredar, Salleh terjaga dari rebahnya, lantas merengek kerana tidak sempat meminta autograf. Muthu dan yang lain-lain mengambil kesempatan untuk menunjuk-nunjukkan tandatangan pelawak veteran pada apronnya. Dalam kereta, Datuk Aziz memegang sekeping gambar hitam putih P. Ramlee sambil membisikkan ulasan bahawa sahabatnya masih dikenang hingga kini.
0 komentar:
Posting Komentar